Sunday, August 29, 2010

HUKUM MENDOAKAN ORANG BUKAN ISLAM

Rate This

Terdapat garis pandu dan batas bagi keharusan mendoakan orang bukan Islam. Tidak semua doa atau permohonan itu diharuskan bagi mereka. Adalah haram mendoakan orang bukan Islam sama ada dia terdiri daripada keluarga sendiri ataupun sebaliknya, dengan doa yang berbentuk permohonan keampunan dan seumpamanya yang tidak layak disebut bagi orang bukan Islam. Kerana ianya dilarang sebagaimana firman AllahSubhanahu wa Ta’ala yang tafsirnya :

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

(Surah At-Taubah: 113)

Daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa yang berkata yang maksudnya :

“Orang-orang Yahudi berpura-pura bersin di majlis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dengan tujuan supaya Baginda bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah – sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin – Maka Baginda bersabda (kepada orang-orang Yahudi ketika mereka bersin) semoga Allah memberi hidayat kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu.”

(Hadis riwayat Tirmidzi)

Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak harus mendoakan orang bukan Islam agar mereka mendapat keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kerana rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala itu khusus bagi orang-orang yang beriman. Akan tetapi harus bagi kita mendoakan orang-orang bukan Islam itu supaya mendapat hidayat, taufiq serta beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuberkata yang maksudnya :

“Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka.” Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Sementara hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah minta tolong menimba air, lalu ada orang Yahudi yang menimbakan air untuk Baginda. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendoakannya: “Semoga Allah menjadikanmu tampan selalu.” Maka orang Yahudi itu sehingga meninggal dunia tidak pernah kelihatan uban dikepalanya.”

(Hadis riwayat Ibnu as-Sunni)

Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam pernah diminta oleh sahabat Baginda iaitu Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, untuk mendoakan ibunya yang masih kafir supaya memeluk agama Islam. Lalu Baginda pun mendoakannya dan dimakbulkan permohonannya itu oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Doa-doa seperti di atas ini adalah diharuskan. Tetapi mendoakan orang bukan Islam dengan memohon keampunan dan keselamatan daripada azab dunia dan azab akhirat, maka itu adalah haram. Pada zaman yang semakin giat membangun ini, bermacam pendapat dan pemikiran yang timbul dan berbagai usaha yang dilakukan terutama sekali dalam strategi-strategi untuk melemah atau menjatuhkan umat Islam, sekaligus terhadap agama Islam itu sendiri.


No comments:

Post a Comment